Thursday, 7 November 2013

info : Kajian mengenai kaum Iban Sarawak


ISI KANDUNGAN

PENGENALAN
LATAR BELAKANG
KAEDAH METODOLOGI
ISI-ISI
-      ADAT DAN BUDAYA
-       KEPERCAYAAN
-       PANTANG LARANG
-       BAHASA
KESIMPULAN





PENGENALAN
Hubungan etnik (SKP 2204) merupakan salah satu kursus wajib 2 kredit yang didaftarkan di .... Kursus ini bertujuan memupuk kesepaduan antara etnik serta dapat mengenali etnik-etnik yang terdapat di Malaysia. Seperti yang kita ketahui, Malaysia bukan sahaja kaya dengan hasil bumi yang bernilai tetapi juga mempunyai masyarakat majmuk yang mengamalkan perkongsian budaya antara kaum. Selain daripada mengikuti kuliah, kami juga dikehendaki melaksanakan kajian lapangan mengenai etnik-etnik yang terdapat di Sarawak. Kumpulan kami memilih kaum iban dan kajian ini dijalankan di sekitar bandar Bintulu dan lawatan ke Kuching juga membantu kami untuk menambahkan info mengenai kaum iban. Setelah mencari maklumat daripada pelbagai sudut, kami telah mengetahui latar belakang, adat, pantang larang , bahasa dan kepercayaan kaum iban. Keputusan lengkap daripada tugasan ini telah kami sediakan di bawah.

LATAR BELAKANG
Kaum Iban dahulu dikenali sebagai Dayak Laut dan dengan jumlah sebanyak 876,000 iaitu 40% daripada jumlah penduduk Sarawak, kaum Iban merupakan kumpulan etnik yang terbesar di Sarawak ,mereka mendiami daerah dan bahagian negeri Sarawak dari daerah Lundu di barat dan Limbang di timur laut, tetapi kepadatan penduduk Iban adalah di bahagian Kota Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Kapit, Bintulu dan Miri. Kebanyakan kaum Iban tinggal berkampung di rumah panjang yang kebiasaanya terletak di tebingan sungai dan di tepi jalan raya ini adalah bagi mempermudahkan aktiviti kerja , berhubung dan berkomunikasi antara satu sama lain. amalan cara hidup yang diamalkan adalah berlandaskan hukum adat ,pantang-larang, tolak-ansur (toleransi), dan berteraskan perhubungan persaudaraan yang erat antara satu sama lain. Kaum Iban juga adalah kaum yang mengamalkan banyak budaya yang menarik.  Setiap rumah panjang diketuai oleh ketua kampung yang dipanggil Tuai Rumah. Kebanyakan masyarakat Iban pada hari ini menerima agama Kristian sebagai pegangan, tetapi dalam masa yang sama masih mengekalkan nilai adat resam dan ciri-ciri kebudayaan yang menjadi lambang tradisi masyarakat Iban.


KAEDAH METODOLOGI
Semasa mengendalikan kajian lapangan ini, kami menggunakan pelbagai kaedah untuk memperolehi keputusan yang tepat. Kaedah utama yang digunakan ialah melalui proses temu bual. Temu bual ini dijalankan di bandar  bandar Bintulu dan Kuching. Seramai 10 orang telah ditemubual dan ditanyakan beberapa soalan mengenai kaum iban. Melalui kaedah ini, hasil yang diperolehi lebih tepat dan dipercayai kerana pada kebiasaannya, mereka tidak akan menipu memberikan maklumat untuk kaum mereka. Kaedah kedua ialah melalui lawatan. Kami mengadakan lawatan ke Kuching dan melawat tempat-tempat menarik seperti muzium dan kampung budaya. Maklumat yang diperolehi di kampung budaya mengenai kaum iban sangat berguna untuk menambahkan lagi pengetahuan. Bagi maklumat yang tidak kami peroleh melalui kaedah temu bual,buku ilmiah dan internet adalah jalan yang terbaik. Melalui kaedah buku ilmiah, kami menggunakan khidmat perpustakaan yang mempunyai banyak bahan-bahan menarik. Bagi kaedah internet pula, biasanya kami akan menapis segala maklumat yang ada kerana kebanyakan maklumat yang terdapat di internet adalah palsu. Jadi, kami meminta bantuan rakan yang berbangsa iban untuk memastikan maklumat yang diperolehi adalah tepat dan benar. Internet merupakan antara sumber yang paling banyak untuk kami memperoleh maklumat mengenai kaum iban.

ISI-ISI
1.  ADAT DAN BUDAYA

Aspek Cara Hidup Masyarakat Iban
Adat dan tradisi masyarakat Iban di Sarawak, yang pertama kali saya kaji ialah dari aspek cara hidup mereka. Cara hidup masyarakat Iban adalah dapat dilihat dari segi kehidupan masyarakat Iban yang teguh dengan kemasyarakatannya iaitu hidup dalam satu rumah panjang. Struktur organisasi dalam rumah panjang itu diterajui oleh Tuai Rumah kemudian beberapa orang yang akan membantu beliau dalam mengendalikan hal-hal pentadbiran dalam rumahnya. Tuai Rumah akan berperanan dalam undang-undang rumah panjang dan juga mengendalikan adat-adat dalam rumah panjang tersebut.

-          Aspek Ekonomi.
Sementara dari segi ekonomi pula, masyarakat Iban di Sarawak masih teguh dengan tradisi masyarakat mereka yang bergantung kepada aktiviti pertanian secara sara diri. Tradisi ini masih kekal sehingga ke zaman ini. Tanaman padi ini akan diusahakan setiap setahun sekali iaitu selepas penghujung bulan Jun atau bulan 1 bagi masyarakat Iban, yang menganggap bulan Jun sebagai bulan permulaan dalam takwim mereka. Padi akan selesai dituai pada bulan Februari. Pada 1 haribulan Jun, sambutan Hari Gawai Dayak akan diadakan sebagai meraikan semangat padi yang telah memberikan rezeki kepada mereka. Padi yang diusahakan pula ialah padi bukit, dan secara keseluruhan aktiviti adalah masih menggunakan peralatan tradisional, seperti kapak,parang, dan peralatan tradisional yang lain. Oleh itu, masyarakat Iban gemar menjalankan aktiviti dengan bergotong-royong kerana percaya bahawa aktiviti itu akan lebih cepat dan mudah.

Selain daripada mengusahakan tanaman padi, masyarakat Iban di Sarawak juga turut menanam lada. Lada ditanam sebagai sumber pendapatan bagi menyara hidup keluarga dan anak-anak mereka. Biasanya lada ditanam juga dengan menggunakan kaedah tradisional. Walaupun harga lada di pasaran tidak tetap, tetapi masyarakat Iban tidak ada pilihan lain memandangkan struktur muka bumi di Sarawak lebih banyak yang bertanah tinggi. Selain daripada menanam lada yang pada asalnya dibawa oleh orang asing yang datang ke Sarawak iaitu sekitar abad ke- 18 lagi, masyarakat Iban di Sarawak juga masih teguh mengusahakan tanaman getah dan juga tanaman sampingan yang lain. Di samping itu juga, masyarakat Iban di Sarawak juga turut menyara hidup mereka dengan aktiviti berburu dan menangkap ikan. Mereka akan memburu binatang-binatang yang boleh dimakan seperti rusa, kijang, pelanduk dan banyak lagi.

-          Aspek Sosial
Dari aspek sosial pula, masyarakat Iban terkenal dengan amalan dalam sesebuah rumah panjang. Pada zaman sekarang, amalan hidup dalam komuniti rumah panjang masih lagi ada. Di rumah panjang saya sendiri ada lima puluh empat buah rumah yang sama besar dan juga sama struktur binaannya. Masyarakat Iban dalam rumah panjang begitu mementingkan semangat kerjasama. Dalam apa juga kerja, masyarakat Iban lebih memilih untuk bergotong royong daripada melakukan kerja itu secara sendiri. Amalan bergotong-royong atau beduruk ini kerap diamalkan apabila musim menanam dan juga menuai padi.
Di samping itu juga dalam pergaulan seharian, amalan masyarakat Iban antara lelaki dan perempuan adalah tidak disekat ataupun dibenarkan mengikut adat ngayap. Ngayap ini merupakan satu amalan masyarakat Iban pada zaman dahulu,yang dilakukan oleh si teruna untuk memikat si dara serta berkenalan dan meluahkan perasaan masing-masing. Walaupun amalan ngayap ini dibenarkan namun ia haruslah dilakukan dengan adab dan juga sopan santun yang berlandaskan adat dan juga pegangan hidup masyarakat kaum Iban itu sendiri.

         Mengikut adat,si teruna boleh mengunjungi si dara tidak melebihi tiga malam berturut-turut. Jika kunjungan berterusan, ibu-bapa si gadis mempunyai hak untuk menentukan dan bertanya sama ada si teruna serius di dalam usahanya untuk memikat si gadis. Sekiranya antara mereka serius,mereka akan dikahwinkan. Pada masa kini, tradisi dan amalan ngayap ini tidak lagi diamalkan. Teruna dan dara hanya berjumpa dalam majlis keramaian, perjumpaan semasa perayaan, dan sebagainya yang tidak berlebih-lebihan dsan bersopan santun. Oleh itu,sekiranya terdapat perlanggaran adab dan campurtangan kaum lain ,maka tindakan undang-undang akan diambil seperti yang termaktub dalam seksyen 132 Adat Iban,1993.
Dari aspek menyambut keramaian pula, masyarakat Iban adalah amat menitikberatkan kepuasan dan juga hubungan persaudaraan juga silaturrahim antara mereka. Mereka juga seperti kaum lain yang memberi makan setiap tetamu yang datang ke rumah mereka. Tetamu yang datang juga mungkin dihantar pulang sekiranya perlu. Di samping itu juga, tetamu yang hendak pulang juga akan dibekalkan dengan buah tangan dan juga cenderamata yang menunjukkan tuan rumah senang menerima kehadiran mereka.

-          Aspek Politik(Pentadbiran dalam Rumah Panjang)
Dalam aspek politik pula, cara hidup masyarakat Iban amatlah mementingkan ketaatan kepada Tuai rumah atau ketua kampung dalam sesuatu organisasi dalam sesebuah rumah panjang. Dalam hal ini, ketua rumah dalam sesebuah rumah panjang akan melantik beberapa orang ahli jawatankuasa di bawahnya. Peranan ketua rumah panjang bukan sahaja dalam birokrasi mahupun pentadbiran sahaja,bahkan ketua rumah panjang juga berperanan dalam mengendalikan urusan adat dan juga undang-undang rumah panjang tersebut.

           Ahli jawatankuasa yang membantu ketua rumah akan bertungkus lumus terutamanya dalam urusan rumah panjang,misalnya bendahari,setiausaha, komiti,dan sebagainya. Namun pada masa sekarang,masyarakat Iban hidup dalam rumah panjang yang agak mewah seiring dengan arus pemodenan. Bukan lagi sepert dahulu yang hanya beratapkan rumbia,berdinding buluh dan sebagainya. Bahkan kira-kira 60% daripada rumah orang Iban adalah rumah batu dan moden struktur binaannya.
Oleh itu, pada zaman sekarang struktur pentadbiran pun telah berubah. Bahkan seorang ketua dalam rumah panjang itu juga seharusnya seorang yang pernah menerima pendidikan bukanlah mereka yang buta huruf seperti sebelumnya. Hal ini kerana, ketua berperanan dan berurusan dengan kerajaan untuk meminta sebarang kemudahan daripada kerajaan dan diberikan kepada rumah panjang di bawahnya. Oleh itu perlunya sikap kepimpinan ada dalam apa jua keadaan sekalipun.

 Adat Perkahwinan
Adat perkahwinan dalam masyarakat Iban adalah sangat unik jika dibandingkan dengan masyarakat lain. Perkahwinan yang sempurna bagi masyarakat Iban adalah perkahwinan yang mematuhi kehendak adat. Pihak yang melanggar mana-mana adat perkahwinan akan didenda sama ada dihukum mengikut adat perkahwinan yang telah ditetapkan . Terdapat beberapa peringkat perkahwinan dalam masyarakat Iban. Peringkatnya adalah seperti di bawah ini.

-          Merisik
Adat merisik ini adalah adat yang mesti dan wajib dalam masyarakat Iban. Dalam masyarakat Iban, perkahwinan biasanya ditentukan oleh pengantin lelaki. Sekiranya seorang teruna telah berkenan kepada seorang gadis, ibu bapanya atau wakil akan bertandang ke rumah gadis untuk merisik. Perjumpaan kedua belah pihak ini juga dikenali sebagai berbunga-bunga atau berjarum-jarum. Pada masa itu syarat-syarat perkahwinan akan ditentukan termasuklah berian dan sebagainya. Keluarga pihak lelaki akan menghantar rombongan meminang gadis jika hasil pertemuan itu menggalakkan. Syarat perkahwinan ditentukan kemudian oleh kedua-dua pihak.

-          Bertunang
Setelah perundingan selesai dibuat, barulah ikatan pertunangan itu dijalankan. Keluarga pengantin akan datang untuk menguruskan ikatan pertunangan itu. Setelah mencapai kata sepakat, ayah pihak lelaki akan menanggalkan “lapit” atau ikat pinggang perak atau sebilah pedang sebagi tanda pertunangan. Mulai dari hari itu, lelaki dan perempuan akan ditanda dengan ikatan pertunangan yang sah. Selepas ikatan pertunangan itu diikat, perempuan yang telah ditunangkan tidak dibenarkan menerima kunjungan lelaki lain selain daripada tunang dan ahli keluarganya sahaja.

          Jika tidak, perempuan itu akan dianggap mencemari ikatan pertunangan yang baru diikat itu. Sebentuk cincin di jari masing-masing adalah sebagai tanda ikatan pertunangan dan tanda bahawa masing-masing sudah dimiliki. Tempoh pertunangan kemudian ditetapkan. Tarikh perkahwinan juga turut ditetapkan. Dua atau tiga hari kemudian,wakil dari pihak lelaki akan memaklumkan kepada saudara-mara dan jiran tetangga tentang pertunangan itu. Semasa pertunangan itu, bakal pengantin lelaki dan pengantin perempuan haruslah sentiasa memakai cincin pertunangan sebagai tanda mereka sudah ada yang memiliki.
Sekiranya pertunangan itu putus kerana salah seorang yang melakukan kecurangan, maka sesiapa yang melakukan kecurangan itu akan dikenakan denda sebagai menebus malu keluarga pihak yang dicurangi itu. Tetapi, sekiranya pertunangan itu terputus kerana kematian dan sebab-sebab lain, maka hubungan di antara pihak lelaki dan perempuan masih berjalan dengan baik.

-          Majlis Perkahwinan atau Melah Pinang
Majlis perkahwinan dimulakan oleh pihak lelaki. Pihak lelaki akan menyediakan barang-barang atau hantaran yang akan diberikan kepada pihak perempuan seperti kain, raga, pedang, hasil kraftangan dan mungkin juga barang kemas. Keluarga perempuan juga turut membuat persiapan termasuklah memburu binatang untuk dijadikan lauk kepada tetamu yang akan datang. Selain itu, kedua belah pihak juga turut menetapkan perbelanjaan dan juga pemberian yang sesuai untuk pasangan masing-masing.
Pengantin lelaki memakai pakaian tradisional Iban dan disediakan tempat duduk. Paluan gong akan mengiringi rombongan dan perarakan tersebut. Sebaik sahaja sampai di rumah pengantin perempuan, akan dilepaskan satu tembakan sebagai tanda tetamu sudah tiba. Penduduk di rumah panjang pengantin perempuan akan bersiap sedia untuk menyambut kedatangan rombongan pengantin lelaki. Rombongan pengantin perempuan akan turun ke sungai untuk mandi bersama-sama dengan pengantin lelaki sebagai tanda permulaan silaturahim antara pengantin rombongan pengantin lelaki dan pengantin perempuan.

      Semasa perkahwinan itu hendak bermula, mereka akan mengadakan perbincangan di ruai dan air tuak dihidangkan sekali lagi sebagai air peransang kepada tetamu. Setelah mengetahui hubungan kekeluargaan,pengantin perempuan akan meminta berian. Tetapi nilainya adalah mengikut yang telah ditetapkan oleh masyarakat di situ sendiri. Pihak pengantin perempuan pula akan meminta bayaran “pemecah tangga”iaitu sebilah beliung, bayaran “pembuka pintu” iaitu sebatang lembing, bayaran “pembuka kelambu” iaitu sebilah pedang dan bayaran-bayaran yang lain.
Upacara membelah pinang adalah upacara menentukan tempoh jodoh antara pengantin lelaki dan pengantin perempuan. Setelah dibelah, pinang itu akan diagihkan kepada tetamu yang datang. Upacara perkahwinan telah dianggap tamat dan menunggu masa untuk bersanding di sebelah malam sahaja. Sekiranya ada kesalahan atau kesilapan semasa majlis perkahwinan itu, pengantin baru akan mandi di sungai untuk membersihkan diri. Mereka juga diminta untuk memegang sehelai kain yang panjangnya tujuh ela supaya kesalahan mereka akan hilang bagi setiap individu. Sementara menunggu majlis persandingan yang akan berlangsung pada sebelah malamnya, akan diadakan sedikit perbincangan antara keluarga sebelah pengantin lelaki dan perempuan. Perbincangan ini adalah tentang tempoh yang sesuai bagi pengantin perempuan tinggal di rumah pengantin lelaki sebelum dibenarkan melawat keluarganya.

Cara Berpakaian
Masyarakat Iban terkenal dengan cara berpakaian atau disebut juga ngepan Iban. Cara berpakaian masyarakat Iban adalah sangat unik dan masih lagi diamalkan pada masa sekarang terutamanya pada musim keramaian, majlis-majlis tertentu, dan juga pada musim perayaan iaitu Hari Gawai. Pada zaman dahulu, pakaian lelaki dan wanita dalam masyarakat Iban adalah jauh berbeza. Namun demikian ia lebih banyak diperbuat daripada kain tenunan yang memaparkan corak tenunan yang sangat cantik. Sementara untuk perhiasan pula, masyarakat Iban menggunakan perhiasan yang pelbagai, seperti marik empang, sugu tinggi, rawai dan sebagainya. Perhiasan ini diperbuat daripada bahan logam seperti timah dan juga perak dengan buatan yang sungguh cantik.

 
-         Pakaian Lelaki
Lelaki masyarakat Iban terkenal dengan lanjang atau topi yang dihiasi dengan bulu burung iaitu burung merak atau ruai. Lelaki juga sinonim dengan kain dandong atau kain selendang yang dipakai oleh lelaki Iban. Panjang dandong adalah tidak tetap kerana kain dandong ini digunakan sebagai pembungkus barang-barang persembahan dalam upacara-upacara tertentu. Dandong ini diperbuat daripada tenunan secara ikat. Kain dandong tidak lagi digunakan pada zaman sekarang,melainkan digunakan untuk perhiasan sahaja.
Pakaian lelaki yang dijadikan sebagai baju pula dikenali sebagai baju burung. Baju burung adalah merupakan sejenis kain tenunan yang mempunyai corak yang bermotifkan burung dan coraknya sangat cantik. Cara pemakaian baju burung adalah dipakai seperti baju biasa hanya ia tidak bertutup dan mendedahkan dada. Baju burung juga dipakai tanpa lengan kelihatan ringkas namu menarik. Baju burung masih lagi dipakai sehingga zaman sekarang tetapi pemakaiannya hanyalah pada hari-hari tertentu sahaja seperti musim perayaan, majlis dan keramaian dan juga menyambut tetamu atau pengabang.

-          Pakaian Wanita
Pakaian wanita Iban dapat dilihat daripada bahagian kepala sehinggalah ke bahagian kaki. Bahagian kepala akan dihiasi dengan sugu tinggi, yang merupakan hiasan yang diperbuat daripada logam timah. Bahagian bahu pula akan dihiasi dengan marik empang,yang diperbuat daripada manik-manik yang disusun mengikut corak. Bahagian pinggang pula akan dililit dengan ngepan yang diperbuat daripada timah dan kelihatannya seperti syiling yang disusun berjuntai-juntai. Kaki juga mempunyai perhiasan yang cantik dan setiap gelang kaki akan diletakkan gerunung yang mengeluarkan bunyi-bunyian yang menarik perhatian sesiapa yang mendengarnya.
Begitulah halnya dengan pakaian wanita. Pakaian dijadikan baju adalah dinamakan selayah(bedong) yang merupakan sejenis kain tenunan yang sangat panjang dan dilit di bahagian dada. sementara kain sarung yang dipakai separas lutut. Kain sarung ini ditenun dengan corak jalur yang berwarna-warni. Malah ada diantaranya juga dihiasi dengan corak bermotif tradisionla dan disongketkan dengan benang emas atau perak di atas kain dasar yang berwarna merah

 Tarian dan Nyanyian

Aspek terakhir yang dikaji pula ialah tarian dan juga nyanyian masyarakat Iban. Masyarakat Iban mempunyai tarian yang agak menarik dan unik. Antara tarian Iban yang popular ialah tarian ngajat. Tarian ini terbahagi kepada beberapa jenis tetapi dilakukan pada masa dan waktu yang sama iaitu pada musim perayaan Gawai, di mana masyarakat Iban akan berpesta dengan pelbagai tarian bagi menyambut semangat padi, apabila selesai sahaja musim menuai. Antara jenis tarian yang diamalkan ialah tarian ngajat lesong, ngajat bebunoh, ngajat pua kumbu, ngajat indu dan banyak lagi. Semasa tarian ini ditarikan, gendang akan dibunyikan dan penari akan menarikan tarian mengikut paluan gendang.
 
      Sementara nyanyian atau leka main pula begitu unik dan mempunyai pelbagai fungsi. Antara leka main yang masih relevan lagi pada zaman sekarang ialah pantun, ramban, renong,ganu, pengap, sampi,timang,bebiau, naku antu pala,geliga dan banyak lagi. rasa kerinduan, menyindir dengan cara yang halus,menyampaikan rintihan dan keluhan, hiburan kanak-kanak dan juga sebagai pembakar semangat atau motivasi.

           Sekiranya diteliti, dan dikaji dengan lebih mendalam leka main atau sastera tradisional masyarakat Iban ini,ia nampak lebih menarik jika dibandingkan dengan sastera atau bidang puisi masyarakat bumiputera yang lain. Jenis puisinya yang sangat banyak menampakkan lagi keunikan yang terdapat pada puisi tersebut. Melalui leka main atau puisi ini, dapatlah diketahui corak pemikiran, pandangan hidup, kejadian yang berlaku, susunan masyarakat dan kepercayaan masyarakat Iban.
Tambahan pula ia disampaikan secara lisan dan diwarisi secara turun temurun oleh masyarakat Iban pada masa kini walaupun tidak semua orang yang tahu menyanyikan atau melagukannya. Keistimewaanya yang seterusnya pula ialah apabila ia disampaikan daripada masyarakat primitif yang animisme atau pagan. Leka Main atau puisi ini tersebar secara lisan dan ia bersifat kolektif dan fungsional. Bentuknya masih terikat oleh konvensi tertentu dan keterikatan ini telah memberikan perbezaan kepadanya daripada genre puisi tradisional etnik yang lain di Sarawak. Masyarakat Iban seharusnya bangga kerana kepandaian mereka bermain dengan kata-kata yang berbait dan sangat indah apabila didengar.


Adat kematian
Kaum iban juga mempunyai adat semasa kematian. Berikut ialah cara- cara mereka semasa berhadapan dengan kematian.

1.      Keluarga mengelilingi mayat dan meratap 190 minit.
2.      Lesung/penumbuk diletakkan di laluan (tempuan) untuk menghalau hantu.
3.      Mayat dibersihkan dan 3 tanda kunyit di dahi.
4.      Pua kumbu (gebar) dijadikan tabir untuk menghalang penyakit.
5.      Beras dihamburkan paya beras keluarga tidak dibawa sama ke dunia lain (sebayan).
6.      Api kecil dekat kaki simati.
7.      Tetamu bawa hadiah beras pulut, duit dan ayam.
8.      Berkabung selama 3 bulan.
9.      6 petang - nyanyian ratapan kematian.
10.  5 pagi - wanita tua beri makan supaya tidak lapar dalam perjalanan.
11.  Semasa dimasukkan dalam keranda, orang2 perempuan menangis sekuat2nya.
12.  Darah ayam direnjiskan ke tanah sebelum digali.
13.  Keranda ditanam bersama barang si mati (baiya) supaya dapat digunakan dalam dunia lain (memoa sebayan).

Seperti yang kita ketahui masyarakat iban mempunyai banyak makanan tradisi. Antaranya :


-          HINAVA
Hinava atau nama lainnya iaitu Hinava Ginapan merupakan salah satu makanan kaum Iban di Sarawak.Makanan ini selalunya disajikan semasa Hari Gawai.

-          AYAM PANSUH
Salah satu dari makanan tradisional kaum Iban setiap kali perayaan Krismas dan Hari Gawai. Ayam di masak dalam buluh.


-          CAKAR AYAM
Makanan tradisional kaum Iban yang pasti ada di rumah panjang setiap kali perayaan Gawai .


-          PEKASAM ENSABI
Jeruk  atau  pekasam ensabi, makanan tradisional kegemaran orang Iban merupakan sejenis sayur sawi jeruk yang begitu popular di rumah panjang. Rasanya yang masam dan sedikit masin amat sedap dinikmati dengan hidangan nasi panas, dan sehingga kini hidangan yang diwarisi sejak zaman nenek moyang terus digemari.

-          KASAM
Kasam ikan atau "Pekasam" sangat dikenali bagi suku kaum masyarakat iban. Selalunya, ikannya  diperam selama sebulan sebelum di makan, semakin lama diperam semakin sedap rasa isinya. selain itu, pelbagai jenis ikan boleh digunakan untuk di jadikan pekasam seperti ikan semah, baong, lampam jawa, tengadak, sepat dan keli. selain daripada itu juga, ramai masyarakat tidak dapat menerima makanan ini kerana baunya yang tersangat busuk dan bagi sesetengah orang yang biasa sahaja dengan pekasam dapat menerima makanan ini.

-          TUAK BERAS
Tuak (beras) ialah sejenis minuman masyarakat kaum Iban pada masa dahulu. Biasanya Tuak diperbuat daripada sejenis beras dipanggil “BerasPulut”. Beras tersebut akan direndam bersama air di dalam tempayan atau dikenali sebagai “Tajau”. Proses tersebut akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu sebelum ia boleh diminum dan beras tersebut juga akan menjadi sejenis makanan dipanggil “Nasi Tapai”. Namun pada masa kini proses pembuatan tuak berlainan sedikit iaitu selain dibuat menggunakan beras pulut, ia juga dicampur dengan gula pasir supaya rasanya manis. Biasanya Tuak akan dihidangkan pada perayaan tertentu seperti perayaan gawai dayak, gawai hantu, gawai burung dan sebagainya. Selain daripada mayarakat Iban, terdapat juga masyarakat lain seperti Bidayuh, Orang Ulu juga membuat tuak dengan cara mereka sendiri. Tuak juga boleh membawa kesan yang mudarat seperti mabuk, khayal, muntah sekiranya diminum berlebihan.
2.  KEPERCAYAAN
Dalam Kepercayaan Iban, mereka berpegang kepada adat yang diwarisi turun temurun dan ditulis di dalam 'Papan Turai' oleh 'Tuai Raban Bansa' atau "Chief Paramount" dengan berpandukan nasihat 'Beliau' dan 'Lemambang'. Contohnya apabila hendak membuka penempatan dan mendirikan rumah, kawasan tanah yang hendak didirikan rumah tersebut hendaklah disemak terlebih dahulu. Mereka juga percaya pada petanda-petanda lain seperti bunyi burung ketupung dan burung beragai. Bunyi yang dikeluarkan oleh binatang-binatang ini adalah petunjuk dan alamat untuk menentukan kesesuaian tapak. Semua petanda akan ditafsirkan oleh 'Beliau' dan 'Manang' bagi mematuhi adat supaya tidak mendatangkan malapetaka.
Mimpi merupakan salah satu sumber alamat tentang sesuatu yang bakal terjadi di masa akan datang dan diterjemah oleh Beliau dan Manang. Bagi menghidar alamat yang boleh mendatangkan malapetaka, biasanya upacara 'Ngintu Burung' dan 'belian' akan dijalankan mengikut 'Adat' yang dirujuk kepada Tuai Raban Bansa.
Kaum Iban dahulunya percaya kepada animisme iaitu penyembahan terhadap alam dan selepas itu diikuti oleh agama hindu-buddha. Selepas sekian lama, kebanyakan masyarakat iban pada hari ini lebih cenderung ke arah kristian dan islam. Mereka mempunyai banyak perayaan yang disambut setiap tahun ataupun berlaku sesuatu perkara. Perayaan Gawai merupakan perayaan utama bagi suku kaum Iban. Jenis-jenis Hari Gawai adalah seperti :
·         Gawai Dayak (Pesta Kehasilan Menuai)
·         Gawai Burung (untuk membaiki petanda yang tidak baik)
·         Gawai Kenyalang (untuk menandakan kejayaan seseorang dalam kehidupannya)
·         Gawai Umai (seperti Gawai Panggul semasa mencari tapak umai, Gawai Batu semasa menebang, Gawai Bersimpan selepas menuai)
·         Gawai Pangkong Tiang, Gawai Tuah (untuk mencari nasib baik)
·         Gawai Lelabi (Melah Pinang / Maljis Nikah)
·         Gawai Sakit dan Gawai Antu ( untuk perkara yang tidak baik berlaku)



3.     PANTANG LARANG

Setiap kaum mempunyai pantang larangnya yang tersendiri. Bagi kaum iban,  mereka mempunyai pantang larang yang unik dan ini membezakan dengan kaum lain. Antara pantang larang tersebut ialah jika mimpi buruk, aktiviti besok ditangguhkan dan miring akan dilakukan. Miring ialah jampi serapah dengan darah ayam atau babi direnjis di sekeliling mereka. Selain itu,  dalam tempoh tujuh bulan sewaktu mengandung, wanita Iban dan suaminya dikenakan pelbagai pantang larang, antaranya seperti berikut;

·         Mereka dilarang menggali parit di kawasan padi atau di mana-mana sahaja.

·         Mereka dilarang memotong pokok yang menjalar di atas tanah, kerana dibimbangi akan menghalang pendarahan yang berterusan semasa melahirkan anak
·         Wanita yang mengandung dilarang menuang minyak ke atas tapak tangan untuk disapu pada rambut bayi kerana yang bakal lahir tidak bernanah.
·         Kedua suami isteri tidak boleh mengetuk telur menggunakan pisau atau kayu kerana dikhuatiri bayi itu akan cacat penglihatan.
·         Mereka tidak boleh menanam pokok pisang supaya si bayi tidak berkepala besar.
·         Mereka tidak boleh memikul batu-bata tajam di dalam raga kerana dikhuatiri bayi akan lumpuh.
·         Mereka tidak boleh membawa kura-kura ke dalam bilik supaya bayi tidak tersekat di dalam rahim semasa dilahirkan.
Di samping itu,  pantang larang lain yang dipercayai masyrakat iban ialah jika terserempak binatang atas dahan itu ialah antu rembia (roh menjaga pokok) dan tidak boleh membunuh nya kerana perkara tidak baik akan berlaku dan halia tidak boleh ditanam kesan pada mata.




4.    BAHASA
Setiap kaum mempunyai bahasa ataupun sistem penulisan yang berbeza dan ciri unik inilah yang membezakan antara kaum di Malaysia. Kaum iban terutamanya menggunakan bahasa Iban yang kebanyakannya mempunyai banyak persamaan dengan bahasa Melayu. Ianya juga merupakan bahasa yang seragam (homogenous). Masyarakat Dayak-Iban merupakan satu-satunya bangsa bumiputra di Malaysia yang mempunyai sistem tulisan yang disebut 'Turai'. Ianya mempunyai tidak kurang daripada 59 abjad yang mewakili bunyi sebutan seperti tulisan rumi. Sistem tulisan ini berkesan apabila orang Iban dapat merujuk keturunan sehingga 15 generasi yang terdahulu dengan darjah ketepatan yang mengagumkan dan juga merekodkan peristiwa penting.


KESIMPULAN
Melalui kajian lapangan yang dilaksanakan, banyak ilmu dan pengetahuan mengenai kaum Iban yang telah dipelajari. Kami dapat mengetahui mengenai adat resam dan budaya serta pantang larang yang masih diamalkan oleh kaum iban. Selain itu, kami juga dapat mengkaji tentang kepercayaan dan bahasa kaum iban yang sangat unik jika dibandingkan dengan kaum lain yang terdapat di Malaysia. Sesungguhnya Malaysia kaya dengan etnik dan budaya yang menarik yang boleh dicuba oleh etnik yang lain.
















                                                                                         




1 comment:

  1. Hinava ginapan tu makan orang sabah bukan sarawak . Kaum kadazan dusun .

    ReplyDelete